Entah apa petaka kepada Melayu hari ini. Kesemuanya berpunca pada diri mereka sendiri dan bukannya sesiapa.
Ada Pak Haji atau Mak Haji yang beniaga di warung. Apabila ditegur, “Jangan guna minyak kitar Ji; kemungkinannya tak halal kerana pernah digunakan untuk menggoreng benda tak halal!” Jawabnya, “Hang pandai cakap. Kalu aku guna minyak baru, hang pulak yang mai komplen harga mahai. Cakap senang. Aku pun tau juga hukum, bukan hang sorang saja.”
Dulu ada sekeluarga yang masuk agama salib di Kuantan. Rumahnya bukan jauh sangat dari masjid, tapi seolah orang disekeliling tak peka akan kehadiran dan kedhaifan keluarga tersebut. Mungkin apabila disyorkan supaya ahli-ahli masjid menjenguk dan bertanya kabar serta membantu, jawapan mereka, “Ah peduli apa, mereka bukan pernah datang ke masjid. Sembahyang pun tak!” Dan apabila datang rombongan bersalib besar untuk memberi kasih, barulah kelam kabut jadinya.
Tak kurang pula dengan yang bertugas di Pejabat Kadi. Apabila datang seorang wanita mengadu hal dan mahu diceraikan saja kerana tak tahan dengan keadaan suami, jawap pula kaunselor perempuan dengan senang, “Engkau tak tau jaga suami. Padan muka suami tak pulang kerumah.” Seorang Tan Sri yang ternama menceritakan kepada saya tentang sepupunya yang dah lebih 10 tahun naik turun mahkamah kadhi untuk menyelesaikan perceraian. Jadi apabila ada yang menubuhkan sis in Islam, kita melenting dan membuat hukuman fasiq. Tukarla sikit perangai tu ooi…
Lupakah kita kepada ibu dan anak yang dihalau suami pada suatu malam? Apabila mereka ke surau untuk menumpang berteduh, dihalau seperti anjing kurap yang najis. Akhirnya diberi perlindungan dan kemudahan untuk bermalam di gereja dan berikutnya mendapat keselesaan disitu. Dan seterusnya berhaleluya bersama mereka. Baru yang berkenaan menjadi seperti ‘kucing jatuh anak’. Berdolak daleh pula jadinya.
Kita ini amat pelbagai. Ramai yang berlagak seperti tuhan. Kerja hanya ingin menghukum. Itu haram dan itu halal. Itu masuk neraka dan ini masuk Syurga. Parti itu masuk neraka dan parti ini pasti Syurga. Teringat pula saya kepada pesanan Sheikh Fathi Yakan, “Pendakwah bukan penghukum.” Tak kurang pula yang beriktikad bahawa kesemua agama sama; semua untuk kebaikan sejagat. Maka gunakanlah ungkapan ‘Allah’ dengan sesenang hati.
Ada yang caca-marba. Ibadat rajin, tapi makan minum tak jaga. Bukan setakat bersubhat tapi tak peduli langsung halal atau haram. Asalkan dapat menguntungkan dan tak menyusahkan. Apabila diberitahu, “Starbucks tu haram”, jawapnya, “Ahh kalau nak kira semua halal atau haram susahlah kita.”
Ada yang agama bermusim. Hanya beramal setiap Jumaat ke Jumaat atau ‘eid ke ‘eid sahaja. Merekalah yang paling sibuk. Bersungguh-sungguh dan menunjuk-nunjuk.
Ada yang tak peduli langsung. Duit itulah sembahannya. Dan siapakah nak disalahkan apabila ikut apa saja. Bantuan dari salib atau tak bersalib? Biarkan. Biarkan.
Seorang teman bertanya kepada saya, “Ni hang dok pi berdakwah, ramai ke masuk Islam?”
Jawap saya, “Itu bukan kerja saya. Yang saya menyampaikan kepada mereka apa itu Islam. Sesenangnya kenapa saya makan berpilih dan bukan kesemua yang merangkak di bumi. Sekurang-kurangnya mereka tau tentang sempadan agama Islam. Kalau nak menyakinkan seseorang supaya masuk Islam, susahlah jadinya. Hati itu hak Allah, bukan kita yang membukanya.” Ada sepasang dari India yang bersama-sama saya melawat Masjid Fatih di Bahrain beberapa lama dulu. Apabila mereka diberi maklumat tentang Islam, saya terkejut dengan jawapan mereka, “Nobody has told me about Islam back in India.”
Sifat pemarah pula tak bertempat. Kerana kucing yang mengiau-ngiau mejadi pergaduhan besar sehingga bapa sendiri ditetak sampai mati dan emak ditusuk dengan pisau. Walhal dalam keadaan berpuasa.
Amanah pula tidak diambil berat. Menerima anak kecil untuk diajar mengaji dan dilatih untuk menjadi hafiz, dirinya diliwat berkali-kali. Berkali-kali. Nafsu sebegitu rakus dan luar tabii.
Malam tadi saya dikejutkan dengan sms dari abang saya dari London. “Hari esok (Sabtu) mayat Lorraine Esme Osman akan dibakar di Golders Green. Nauzubillah!” Hebat. Hebat. Seolah-olah abu itu akan terlepas dari dihisab kelak.
Pelbagai angkara. Kerana celakanya pada kita justeru membawa petaka.